Ramadan,
Padanya ada nikmat yang tak terlafaz,
Padanya tersembunyi sejuta kemanisan….,
Padanya juga terselit perih-perih pengajaran…,
Lalu, sudahkah kita sedarinya, sudahkah kita tatapinya dan sudahkah kita memilikinya?
Ketahuilah wahai insan-insan sekalian, sesungguhnya tiada lagi bulan-bulan yang seindah Ramadan, dan ketahuilah jua, bahawa tiada lagi kemanisan hidup melainkan merasai kenikmatan berTuhan.
Genaplah sudah hari ini 18 hari kita berlayar di kedamaian Ramadan, apakah Ramadan kita tenang, aman, lapang dan amat mempesonakan… atau Ramadan kita amat memeritkat,? malah melunturkan jiwa untuk terus berbakti kepada hidup.
Hari ini hanya berbaki 1/3 sahaja lagi hari-hari berharga untuk kita layarinya, kerana di sinilah hari-hari keemasan untuk kita meraih keuntungan berganda dari ILAHI, 11 bulan kita mengalami susut naiknya saham amal, kini sebulan Ramadan Allah yang menguasai Kemuliaan membuka seluas-luasnya KepemurahanNya dengan menawarkan perniagaan yang keuntungannya berganda 100%. Walaupun modalnya hanya sekecil benih sawi… bahkan menjajanjikan tiada sesiapa yang akan kerugian jika melaburkan saham amal sepanjang bulan ini. Namun, jika masih ada insan-insan yang mengalami kerugian dan bankrap, nasib apakah mereka ini, hanya mereka yang tahu…
RENUNGLAH….ooohh insan!
Kehidupan kita tidaklah semuanya seindah bicara ini, tidaklah semua kita memiliki dan dipenuhi. Kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Menguasai apa yang telah ia jadikan. Sedang kita tak termampu menghabis makanan santapan berbuka, ada pula insan-insan lain yang terpaksa meneruskan berpuasa, tercari-cari sumber, dari mana untuk ia perolehi secebis makanan bagi menyabung tenaga untuk kembali meneruskan IBADAH PUASA. SEDARKAH KITA, kadang-kadang mereka tak pernah berhajat untuk meminta dan memperoleh simpati daripada kita si makhluk, kerana mereka yakin dan bergantung teguh sepenuhnya kepada yang Maha Memberi. Namun perasankah kita tentang mengapa ketika kita sedang menikmati sebahagian nikmat dunia bersama keluarga, ada saja pengemis yang datang memohon simpati. Begitu juga ketika kita gembira sedang dalam perjalanan kembali ke kampung untuk meraikan Aidulfitri, kita terserempak pula dengan musibah di perjalanan. Tahukah kita mengapa Allah pertontonkan hal-hal sedemikian kepada kita..
INSAFILAH… wahai insan, sesungguhnya Allah itu Maha Mentadbir dan Maha Menyantuni, segala yang berlaku dan kadang-kadang tidak melibatkan kita, namun Allah mempersaksikan kepada kita. Maka di situ sudah pastilah ada kaitannya dengan jiwa dan kehidupan kita, tidakkah kita sedar yang Allah menyatakan Firmannya yang bermaksud ; “Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Ibrahim 14; 7.)
Justeru wahai sekalian insan-insani, kembalilah kita kepada Allah, TAJA’LLIkanlah ‘Qalbu’ kita dengan Kasih Sayang Allah, renungkanlah dunia ini dengan pandangan hati yang murni, yang berhajat kepada setiap Rahsia yang disembunyikan Allah pada setiap kejadian dan peristiwanya, dan “PASTI”, kita akan terlihat indahnya hikmah Allah mentadbir dunia ini dan hikmahnya Allah mengawasi hambanya. Ini kerana Allah s.w.t mahukan amal daripada kita semudah-mudah dan seringan-ringan amal, dengan mengirimkan pengemis kepada kita, Allah mahukan kita berkongsi sedikit rahmat-Nya bersama orang lain, di sini Allah s.w.t ingin menguji hambanya, apakah mereka akan bersyukur dengan mengucapkan kata-kata yang baik kepada si pengemis bahkan akan menghulur sumbangan sebagai tanda mengasihi sesama manusia.
Adapun kadang-kadang kita kurang meyakini, ketika melalui jalan-jalan raya, musibahkah ia, panorama indahkah ia, hakikatnya semua itu juga adalah kesaksian Allah terhadap hamba-hambanya, apakah mereka akan bersyukur dengan apa yang mereka hadapi sekarang, dan berfikirkah mereka dengan apa yang mereka pandang. Justeru itu, dengan berbaki 1/3 Ramadan ini marilah kita muhasabahkan, susahkah sebenarnya untuk kita detikkan ‘Alhamdulillah’ pada setiap detik hati kita bila tersenyum dengan nikmat-Nya, cukuplah jika kita terasa REDHA kerana berTuhan. REDHA dengan apa sahaja ketentuan, itu juga sangat menguntungkan bagi seseorang hamba ke atas Tuhannya.
Wadah ini ditulis atas rasa terharu tatkala penulis sedang beristirehat di asrama sekitar jam 12.15 tengah hari, sabtu 28 Ogos 2010 M bersamaan 18 Ramadan 1431 H. penulis disapa dengan Salam oleh dua kanak-kanak seusia 11, ke 12 tahun. Mereka datang menjual kuih bangkit dan karipap dengan berbasikal sedang mereka juga sedang berpuasa.
Sama-samalah kita hayati persekitaran kita sepanjang Ramadan ini.
Wallahu’Aqlam…